Isnin, 16 Mac 2026

Mesyuarat Agung PIBG Kali Ke-43 Tahun 2026

  

Mesyuarat Agung PIBG Kali Ke-43 Tahun 2026

14 Mac 2026 - Mesyuarat Agung PIBG SMK Jenjarom Kali Ke-43 telah berlangsung dengan jayanya pada hari Sabtu, 14 Mac 2026, bertempat di Dataran Jagoan bermula jam 7.45 pagi. Majlis dimulakan dengan pendaftaran Ibu Bapa dan Guru. Seterusnya, Nyanyian Lagu Negaraku dan Lagu Negeri Selangor,  bacaan doa diikuti dengan ucapan daripada Pengetua, Yang Dipertua (YDP) PIBG, dan seterusnya ucapan perasmian oleh Datuk Zurihan Bin Yusop, Pegawai Penyelaras Dun N51 Sijangkang. Majlis diserikan dengan gimik perasmian yang menarik. Selain agenda mesyuarat utama, suasana majlis menjadi semakin meriah dengan acara cabutan bertuah yang menawarkan pelbagai hadiah menarik khusus bagi menghargai kehadiran para ibu bapa dan guru.  


                        


Majlis Khatam Al-Quran dan Penutup Ihya Ramadhan 1447 Tahun 2026

 

Majlis Khatam Al-Quran dan Penutup Ihya Ramadhan 1447 Tahun 2026

13 Mac 2026 – Majlis Khatam Al-Quran dan Penutup Ihya Ramadan 1447 telah berjaya dilaksanakan pada hari Jumaat, 13 Mac 2026 bertempat di Dataran Jagoan, SMK Jenjarom. Program yang bermula dari jam 7.30 hingga 9.00 pagi ini dianjurkan oleh Panitia Pendidikan Agama Islam betujuan untuk meraikan kejayaan murid dalam pembacaan Al-Quran serta menutup tirai aktiviti keagamaan sepanjang bulan suci Ramadhan.

                


Jumaat, 6 Mac 2026

HARI PENETAPAN TARGET SPM DAN PELUNCURAN PROGRAM D’JAGOAN SPM 2026 SMK JENJAROM

 

HARI PENETAPAN TARGET SPM DAN PELUNCURAN PROGRAM D’JAGOAN SPM 2026 SMK JENJAROM

6 Mac 2026 – Sekolah Menengah Kebangsaan Jenjarom telah berjaya menganjurkan Hari Penetapan Target SPM dan Peluncuran Program D’Jagoan SPM 2026 bertempat di Dataran Jagoan pada pukul 7.20 pagi. Program ini diadakan bertujuan meningkatkan motivasi pelajar Tingkatan 5 dalam mencapai keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang bakal berlangsung pada hujung tahun ini.

Majlis dimulakan dengan ketibaan para pentadbir dan tetamu kehormat, diikuti dengan nyanyian lagu Negaraku dan Negeri Selangor serta bacaan doa. Ucapan alu-aluan telah disampaikan oleh Pengerusi Majlis, diikuti oleh ucapan daripada Pengetua dan Yang Dipertua PIBG. Majlis kemudiannya dirasmikan dengan penyerahan cenderamata kepada wakil PIBG sebagai tanda penghargaan atas sokongan mereka terhadap program ini.

Antara agenda utama ialah bacaan ikrar oleh murid-murid D’Jagoan SPM 2026, yang melafazkan janji untuk berusaha bersungguh-sungguh mencapai sasaran keputusan yang telah ditetapkan. Sesi fotografi turut diadakan bagi mengabadikan kenangan bersama para tetamu dan guru.

Sebagai sebahagian daripada program ini, murid-murid kemudiannya bergerak ke bilik darjah masing-masing bagi mengisi borang penetapan target, dibantu oleh guru kelas dan guru angkat mereka. Program berakhir sekitar jam 10.30 pagi sebelum sesi pembelajaran diteruskan seperti biasa.

Pihak sekolah merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat, termasuk jawatankuasa induk, PIBG, ibu bapa, serta para guru yang komited dalam memastikan kejayaan program ini. Diharapkan Program D’Jagoan SPM 2026 akan menjadi pemangkin semangat bagi para pelajar dalam mencapai kecemerlangan akademik serta merealisasikan impian mereka dalam peperiksaan SPM nanti.


                                        

 

KEJOHANAN SUKAN DAN OLAHRAGA 2026

 

KEJOHANAN SUKAN DAN OLAHRAGA 2026

13 Februari 2026 - Padang SMK Jenjarom. Kejohanan Sukan dan Olahraga berlangsung pada 13 Februari 2026 bersamaan hari Jumaat di padang sekolah pada pukul 7.20 pagi hingga 12.00 tengah hari. Antara acara akhir Kejohanan Sukan dan Olahraga 2026 ialah upacara pembukaan iaitu istiadat perbarisan oleh kontigen-kontigen perbarisan dari Rumah Kasturi, Rumah Jebat, Rumah Lekiu, Rumah Lekir dan Rumah Tuah.  

Antara acara ayang dipertandingkan pada Hari Kejohanan ialah acara balapan 100m PPKI, acara 4 x100m P14, P15,P18 dan acara 4 x 100m L14, L15 dan L18. Acara kemuncak dirancakkan lagi dengan acara tarik tali yang disertai oleh semua rumah sukan.



                                    

Isnin, 26 Januari 2026

Kejohanan Merentas Desa SMK Jenjarom 2026

 

 KEJOHANAN MERENTAS DESA TAHUN 2026

23 Januari 2026, Jumaat, SMK Jenjarom: Kejohanan merentas desa dijalankan pada jam 7.20 pagi hingga 12.00 tengah hari  selepas taklimat yang dibuat oleh Cikgu Jalaludin tentang panduan dan keselamatan pelajar sewaktu aktiviti merentas desa dijalankan. Keselamatan dan kesihatan diutamakan bagi mengelakkan insiden-insiden yang akan berlaku kepda pelajar. Pelajar disusun mengikut tingkatan bagi memudahkan acara pelepasan dijalankan.











Ahad, 18 Januari 2026

Program Sehari Bersama Polis di SMK Jenjarom

 

Program Sehari Bersama Polis di SMK Jenjarom

 14 Januari 2026 

Pada 14 Januari 2026, SMK Jenjarom telah melaksanakan program "Sehari Bersama Polis" yang dianjurkan secara eksklusif oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat. Program yang berlangsung dari jam 8.00 pagi hingga 1.30 petang di Dataran Jagoan ini bertujuan untuk memperkasa kesedaran undang-undang dan disiplin dalam kalangan murid. Aktiviti dimulakan dengan sesi ceramah interaktif oleh pegawai IPD Kuala Langat yang menyentuh isu-isu semasa seperti gejala sosial dan keselamatan komuniti, yang kemudiannya diikuti dengan pameran aset kepolisian serta kerjaya yang menarik minat ramai murid untuk berkunjung.

Kemeriahan program diteruskan lagi dengan sesi kuiz yang mencabar minda murid mengenai pengetahuan am kepolisian dan peraturan jalan raya. Aktiviti ini dilihat berjaya menarik penyertaan aktif murid yang berlumba-lumba untuk memberikan jawapan yang tepat. Sebagai kemuncak kepada program tersebut, majlis diakhiri dengan sesi pemberian sagu hati kepada para pemenang kuiz dan juga sebagai tanda penghargaan kepada pihak IPD Kuala Langat atas sumbangan bakti dan kerjasama yang diberikan sepanjang program berlangsung.






















































 

Isnin, 12 Januari 2026

Hari Pendaftaran Tingkatan 1, Peralihan & PPKI SMK Jenjarom Sesi 2026

 Hari Pendaftaran Tingkatan 1, Peralihan & PPKI  SMK Jenjarom Sesi 2026

 Jenjarom, 9 Januari 2026 

SMK Jenjarom telah mengadakan Hari Pendaftaran bagi murid Tingkatan 1,Peralihan dan PPKI untuk sesi persekolahan 2026 bertempat di Dataran Jagoan sekolah tersebut. Majlis bermula seawal jam 8.00 pagi dan berakhir pada 12.00 tengah hari dengan kehadiran ibu bapa, penjaga, murid serta barisan pentadbir sekolah.

Acara dimulakan dengan ketibaan ibu bapa dan murid yang disambut oleh pasukan penyambut tetamu. Murid-murid diberikan taklimat berkaitan pendaftaran sebelum bergerak ke kelas masing-masing untuk menyelesaikan proses dokumentasi dan pengambilan buku teks.

Majlis rasmi dimulakan dengan bacaan doa diikuti ucapan aluan oleh Pengetua SMK Jenjarom dan Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG). Beberapa taklimat penting telah diberikan kepada murid dan ibu bapa, termasuk taklimat kurikulum, hal ehwal murid, kokurikulum, serta pengurusan sesi petang.

Selain daripada sesi taklimat, pihak sekolah turut menyediakan kemudahan seperti jualan buku dan peralatan persekolahan di koperasi bagi memudahkan ibu bapa melengkapkan keperluan anak-anak mereka.

Majlis berakhir pada jam 12.00 tengah hari dengan semua peserta diberikan panduan lanjut mengenai perjalanan sesi persekolahan yang bakal bermula tidak lama lagi. Pihak sekolah merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam memastikan kelancaran acara ini.














Khamis, 22 Mei 2025

SMK Jenjarom Raih Tempat Ke-4 dalam Perlawanan Robot Tempur Peringkat Negeri

SMK Jenjarom Raih Tempat Ke-4 dalam Perlawanan Robot Tempur Peringkat Negeri

Jenjarom, Selangor – Kelab Persatuan STEM SMK Jenjarom telah mencatatkan pencapaian membanggakan apabila berjaya meraih tempat ke-4 dalam Perlawanan Robot Tempur sempena Program Start Up STEM Peringkat Negeri Selangor baru-baru ini.

Pertandingan tersebut menyaksikan penyertaan pelbagai sekolah dari seluruh Selangor dalam usaha memupuk minat pelajar terhadap bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM). Pasukan SMK Jenjarom menampilkan keunikan dan ketekunan tersendiri apabila robot yang dipertandingkan telah dibina sepenuhnya oleh murid-murid mereka – bermula dari peringkat rekaan lukisan 3D hinggalah kepada pembinaan robot yang lengkap dan berfungsi sepenuhnya.

Dua orang pelajar yang telah mengharumkan nama sekolah dalam pertandingan ini ialah:

  1. Farhan Rafiqin Bin Mohd Burhanudin (Tingkatan 2S)
  2. Muhammad Farid Aiman Bin Idris (Tingkatan 2S)

Kejayaan ini merupakan bukti komitmen dan kreativiti pelajar dalam bidang teknologi, serta sokongan berterusan pihak sekolah dalam memperkasa pendidikan berasaskan STEM. Semoga pencapaian ini menjadi inspirasi kepada warga SMK Jenjarom untuk terus melakar lebih banyak kejayaan pada masa akan datang.

Sekian, terima kasih.


Jumaat, 16 Mei 2025

Sambut Hari Guru

SMK Jenjarom Gegak Gempita Sambut Hari Guru Bertemakan Jersey Negeri!

Jenjarom, 16 Mei 2025 – Perkarangan SMK Jenjarom bergema dengan sorakan dan semangat luar biasa apabila seluruh warga sekolah menyambut Hari Guru 2025 dengan penuh warna-warni dan tema unik: "Jersey Bola Mengikut Negeri dalam Malaysia." Suasana meriah seakan-akan stadium bola sepak, apabila guru-guru tampil bergaya mengenakan jersi negeri masing-masing — ada yang tampil gah dengan jersi Harimau Malaya Selangor, Johor Darul Ta’zim, Perak FC dan pelbagai lagi.

Majlis dimulakan seawal jam 7:15 pagi dengan ketibaan VIP yang terus dijemput untuk bersarapan bersama barisan pentadbir sekolah. Guru-guru pula mula berkumpul pada jam 7:20 pagi sebagai persediaan untuk perarakan hebat yang diadakan bersama VIP dan pentadbir ke gelanggang serbaguna sekolah.

Tepat jam 7:45 pagi, pengacara majlis (MC) memulakan acara dengan pengumuman penuh semangat diiringi muzik sorakan yang membakar semangat kesukanan dan kebersamaan. Nyanyian lagu Negaraku dan lagu negeri Selangor menyemarakkan lagi rasa cinta kepada tanah air dan negeri tercinta.

Majlis rasmi bermula pada 8:00 pagi dengan bacaan doa serta ucapan perutusan Hari Guru. Yang menarik, guru-guru turut menyanyikan lagu Guru Malaysia secara beramai-ramai — momen yang cukup menyentuh hati dan menaikkan semangat para pendidik.

Ucapan penuh inspirasi oleh wakil murid, ibu bapa, dan pengetua sekolah berlangsung pada jam 8:30 pagi, disusuli dengan persembahan menghiburkan daripada para murid pada 9:00 pagi yang memukau para hadirin dengan bakat luar biasa mereka.

Acara diteruskan dengan pelbagai aktiviti guru yang mencuit hati dan mengeratkan lagi hubungan antara pendidik pada jam 9:30 pagi, sebelum majlis kemuncak — penyampaian hadiah — berlangsung sekitar jam 10:15 pagi. Majlis ditangguhkan pada jam 10:30 pagi dalam suasana penuh kegembiraan dan kenangan manis.

Tema pakaian yang luar biasa tahun ini mencerminkan semangat perpaduan dalam kepelbagaian — setiap jersi bukan sekadar simbol pasukan bola, tetapi lambang kebanggaan negeri dan semangat kekitaan warga pendidik.

Selamat Hari Guru! “Guru Jauhari, Murid Berlian” — semoga semangat dan jasa guru terus bersinar menerangi generasi masa hadapan!.


Sabtu, 10 Mei 2025

HAMZAH BIN MUHAMMAD RAZIF DINOBAT JOHAN ACARA KHAT MENENGAH (LELAKI) DI KARNIVAL ADNI DAERAH KUALA LANGAT 2025

HAMZAH BIN MUHAMMAD RAZIF DINOBAT JOHAN ACARA KHAT MENENGAH (LELAKI) DI KARNIVAL ADNI DAERAH KUALA LANGAT 2025

SK BANDAR BANTING, 9 Mei 2025 – Alhamdulillah dan tahniah diucapkan kepada pelajar tahun 1 Zeta, Hamzah bin Muhammad Razif, atas kejayaan cemerlang meraih Johan dalam acara Khat kategori Menengah (Lelaki) sempena Festival Nasyid dan Khat Sekolah-Sekolah (FNKSS) Karnival Adab dan Nilai (ADNI) Peringkat Daerah Kuala Langat Tahun 2025.

Pertandingan tersebut telah berlangsung dengan meriah di SK Bandar Banting (SKBB) pada 9 Mei 2025 (Jumaat). Acara ini menghimpunkan bakat-bakat muda dari pelbagai sekolah di daerah Kuala Langat dalam usaha mengasah bakat serta menyemai nilai adab dan kesenian Islam di kalangan pelajar.

Karnival ADNI yang berlangsung selama dua hari ini turut melibatkan pelbagai acara lain seperti Kalam ‘Arabi, Daie Cilik, Kalimatussobah, Mimbar Daie dan Hiwar yang diadakan di beberapa lokasi termasuk SK Bandar Banting, SMK Bandar Banting, SAMTTAR dan SK(A) Bukit Kemandol.

Sekali lagi, setinggi-tinggi tahniah diucapkan kepada Hamzah atas pencapaian yang membanggakan ini. Semoga terus maju jaya dan menjadi inspirasi kepada rakan-rakan lain untuk terus menonjolkan bakat dalam bidang yang diminati.