Khamis, 16 April 2026

MAJLIS LEMBAYUNG BUDI HAMPARAN BAKTI

 

MAJLIS LEMBAYUNG BUDI HAMPARAN BAKTI

Pada 31 Mac 2026 bersamaan Selasa telah berlangsung Majlis Persaraan Encik Kamal Sidri bin Sidik dengan penuh gilang-gemilang bertempat di Dataran Jagoan, SMK Jenjarom bagi menghargai segala jasa dan khidmat bakti yang telah dicurahkan beliau sepanjang berkhidmat di dunia pendidikan. Majlis yang berlangsung pada pukul 12.50 tengah hari dan berakhir pada 2 petang dihadiri oleh barisan pentadbir, rakan guru, serta para pelajar ini diserikan dengan persembahan penghargaan dan penyampaian cenderamata sebagai simbol kasih daripada warga sekolah. Suasana hiba dan sayu menyelubungi dataran apabila Encik Kamal menyampaikan ucapan perpisahan terakhirnya, sekali gus menandakan berakhirnya satu perjalanan kerjaya yang cukup dedikasi sebelum beliau melangkah ke fasa persaraan dengan iringan doa kesejahteraan daripada seluruh warga sekolah.

                                    





PENGAMBILAN SLIP SPM 2025

 

PENGAMBILAN SLIP SPM 2025

Pada  31 Mac 2026  bersamaan hari Selasa telah berlangsung sesi pengambilan slip keputusan SPM bertempat di tapak perhimpunan berbumbung SMK Jenjarom yang bermula dari jam 10.00 hingga 11.30 pagi. Majlis berjalan dengan lancar dan teratur di mana para calon hadir bersama ibu bapa untuk menerima keputusan masing-masing dalam suasana yang tenang namun penuh debaran. Pihak sekolah ingin mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada semua calon atas pencapaian yang diraih, moga kejayaan ini menjadi batu loncatan untuk terus cemerlang dalam bidang diceburi, manakala bagi yang kurang berjaya, jadikanlah ini sebagai pembakar semangat untuk terus berusaha tanpa jemu. Kehadiran guru-guru serta pihak pentadbir telah melancarkan lagi proses agihan tersebut, sekali gus menutup tirai sesi persekolahan bagi calon tahun tersebut dengan penuh bermakna.